Tuesday, March 13, 2012

Untukmu, sahabat.


Untukmu, sahabat.

‘’Aku menunggu hari tu. Aku harap hari itu adalah esok ’’

Alhamdulilah aku masih bernafas pada hari nie dan masih punya kesempatan untuk menjawab soalan kamu. Maka setelah selesai homework, revision.. aku lekas dapatkan laptop.

Mengapa aku tidak mahu berjumpa kamu?

Ketika aku mula mengenali kamu sesungguhnya aku amat bersyukur, kerana aku dapat rasakan kamu seorang sahabat yang baik. Mana tidaknya kerana kamu bukan sahabat yang sekadar ada sewaktu aku ketawa tapi hadir tika tangisku.Menjadi seorang pendengar yang sabar.

Pasti kamu hairan jika aku betul menghargai erti persahabatan pasti aku juga akan menghargai peluang kita untuk berjumpa. Sungguh aku mahu, tapi..

Sahabat yang membawa ke arah neraka mudah dicari, sahabat yang membawa ke syurga terlalu sukar untuk dicari.. setuju dengan kata ku? 

Bukan lah aku pandang kamu itu seperti sahabat yang bakal membawa aku ke arah neraka, sebaliknya aku memandang diri aku sendiri.. adakah aku sahabat yang bakal membawa kamu neraka atau syurga?

Aku masih meragui niat utama aku untuk berjumpa dengan kamu.. adakah benar mempunyai urusan penting atau sekadar rasa membuak yang ingin berjumpa? Jika niat aku adalah yang kedua, aku khuatir persahabatan ini tidak kekal..

‘’Sesungguhnya setiap amal itu dikira dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang itu dengan apa yang diniatkan olehnya. Sekiranya dia berniat berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka dia akan berhijrah kepada  Allah dan Rasul-Nya. Tetapi sekiranya dia berniat berhijrah kerana dunia dan segala habuannya, atau kerana perempuan untuk menikahinya, maka dia akan berhijrah kearah apa yang dia hendak hijrah kepadanya. (Hadis sahih Muttafaqun Alaih)

Mana tidaknya ukhuwah yang terjalin bukanlah berlandaskan keimanan tapi kearah nafsu aku sendiri.  Persahabatan antara aku dengan kamu bukanlah sebuah persahabatan yang mahu aku anggap sekadar main-main atau sekadar suka-suka. Aku mahu ikhlas bersahabat jadi aku lakukan ini.

Setiap kali aku menghantar pesanan ringkas atau membuat panggilan aku akan pastikan apa tujuannya. Jika penting, laju saja aku dial nombor kamu, sekiranya tidak..tidak perlu. Mengapa ? Aku tidak mahu menambah dosa lagha kamu..

Jika dilihat tidaklah sebesar mana perkaranya, tapi biarlah aku tetap dengan pendirianku ‘’amal makruf nahi mungkar’’ aku cuba menahan diri sedaya-upayaku kerana aku sayang sahabatku.

Tidaklah kerana semata-mata minat yang sama, aku sayang kamu. Aku sayang Allah, jadi kerana itu aku sayang kamu.

Aku rasa tidak lengkap sekiranya di akhirat nanti kita tiada bersama..siapa tahu kita mungkin berjiran di sana nanti? Indah bukan? Aku tak tahu  apa yang kamu rasakan. Bagi aku itu tetap sedih, sekiranya kamu tiada di sana bersama.

Cukuplah sesekali mengetahui perkembangan kamu dari jauh, berdoa dari jauh. Aku selalu berusaha mempertingkatkan diri, kerana aku mungkin pernah jadi sahabat yang tidak baik.. Aku selalu lukakan hati sahabat..hati kamu juga, barang kali. Jadi disini, aku mohon maaf atas segala salah silap.

Andai satu hari aku betul yakin dengan niat sebenar tanpa dibaluti dengan unsur-unsur hitam.. Insya-Allah dengan izin-Nya pasti aku akan berjumpa dengan kamu. Pertemuan itu jauh lebih penuh barakah.
Jaga Dia, dia jaga kita. Insya-Allah.

P/S : Moga Berjaya dalam pertandingan nanti, moga segala di permudahkan. Inshaallah. ^-^






Sunday, March 11, 2012

Aku cemburu. Memang cemburu.

Assalamualaikum...

Jika nak digapai cita-cita aku itu terlalu tinggi.. tapi tak mustahil untuk dicapai dengan izin-Nya inshaallah. 1 hari nanti.

Aku cemburu. Bila ada di dada sahabat-sahabatku tersemat 30 juzuk Al-Quran.. sedangkan aku, masih meragui tajwid ketika membaca kitab terunggul. Ada dua impian yang aku tanam..pertama, Aku ingin bermimpi bertemu Rasullah.. kedua, ingin sekali semadikan 30 juzuk Al-Quran didada..

Diri  ini terlalu hina untuk aku capai cita-cita yang pertama.. Namun, tidak sekali akan aku padam hasrat itu..
Jika dilihat rakan-rakanku bagaimana mereka menjaga akhlak sangat aku kagumi..membuatkan diri ini sentiasa tertunduk malu.

Biar aku kongsikan sedikit pengalaman ketika aku bersama mereka yang aku kasihi..

Jika aku perhatikan, ketika keluar kuliah berselisihan dengan sekumpulan lelaki pasti mereka menundukkan pandangan.. tidak sesekali menoleh wajah-wajah pelajar lelaki.. mereka nampak, tapi hanya kasut.. Tiada istilah 'usha-usha je'... Manakala aku? Bila terdetik dalam hati ''ishhh..hot nye...'' duhai diri, AHHH...aku gagal lagi!.. istifar kembali..

Jika aku minta pendapat, mereka mulakan.. ''bagi pendapat saya yg daif nie.......'' mereka tak lupa untuk gunakan perkataan daif.. sesungguhnya, aku kagumi semakin banyak ilmu, semakin mereka tawaduk..

Mereka bertudung labuh.. kemas berjubah walau kemana.. walau seribu macam cerita yang keluar tentang tudung labuh, mereka tetap kuat.. bahkan lebih kuat..

''Tudung labuh tak semestinya baik..ada yang nak tutup perut mengandung...''

''Tudung labuh pun ada yang couple...''

Tak kisah dilabel apa namun niat baik mereka diragui.. namun tudung itu masih dipakai.. kerana apa? Kerana mereka nak tunjuk pada Allah bukan manusia.

Siapa kata mereka tiada perasaan? Single itu tanda nya tiada perasaan pada lelaki kah? kalau phone jarang sekali bunyi mesej...? tandanya tidak ada yang minat ke?

Betapa mereka ini menahan diri... kerana mereka mahu bawa orang disayangi ke syurga.. cuba beri tahu aku, macam mana orang bercouple..boleh bercouple tanpa sebarang dosa?

kerana pandang dengan nafsu syahwat..DOSA~ ya..walau pandang je...

bergayut, bersembang perkara yang melaghakan..ketawa manja, bincang masa depan yang tak pasti.. DOSA~

pegang tangan, peluk lagilah DOSA~

jadi kalau ada yang bercouple tanpa melakukan dosa.. cuba kongsi bagaimana caranya?

Dengan entri aku secara tak lansung menjawab beberapa soalan yang selalu hairan phone aku jarang sangat ada bunyi mesej..yang ada classmate tanye homework ape?

Buat sahabat-sabahatku..betapa aku sayang kalian..moga Allah berkati di setiap langkah.. terima kasih kerana banyak bersabar melayan kerenah aku yang suka bertanya itu ini.

Semoga 1 hari dapat juga semai 30 juzuk di dada..Amin~ semoga Allah S.W.T permudahkan.



P/S: cemburu tanda sayang. Yeke sayang? Kalau sayang tahanlah diri daripada menambah dosa org disayangi.

''Kalau sayang kata lautan api sanggup aku redah''.. Ayat tak best tuuu.... cakap macam nie ''Kalau sayang lautan api neraka sanggup aku tolong tarik kau keluar...''

''Dan tinggalkanlah dosa yang terlihat ataupun yang tersembunyi. Sungguh, orang-orang yang mengerjakan (perbuatan) dosa kelak akan diberi balasan sesuai dengan apa yang mereka kerjakan (Al-An'aam 6: 120)












Wednesday, February 29, 2012

Harapan seorang pemuda.






Seorang pemuda yang bertuah meminta nasihat padaku. Dia bertanyakan mengenai wanita yang bagaimanakah yang harus dia kahwini?

Adakah dia harus berkahwin dengan perempuan yang berpelajaran, yang menguasai banyak bahasa asing, agar dia dapat menemaninya melancong ke Eropah atau Amerika?

Atau wanita cantik dan menarik yang akan mendampinginya dalam pesta dan pertemuan yang disinari lampu?

Atau wanita yang bekerja sehingga memahami makna kerja dan mengambil berat kepayahan, kesukaran serta memahami keperitan dan beratnya tugas suami, sehinggakan dia tidak menambah beban yang berat kerana dia sendiri hanyut dalam kerjanya?

Atau wanita yang dapat menjadikan rumahnya seperti syurga, tempat berehat dari kesengsaraan daripada kerja terus-menerus?

Saya menjawab, ''Kamu perlu berkahwin dengan seorang wanita yang memiliki beberapa sifat. Wanita yang kamu kahwini haruslah bagaikan tongkat yang dapat kamu gunakan ketika kamu mendaki gunung.

Ataupun, bagai payung yang dapat kamu gunakan untuk melindungi  kepalamu dari hujan dalam bahtera kehidupan.

''Kamu memerlukan lampu yang dapat menerangimu ketika berjalan dalam gelap, kompas yang dapat kamu jadikan pedoman arah dalam kebingungan.

Dia adalah umpama almari yang selalu bersedia menyimpan rahsiamu, enjin yang dapat mengendalikan perjalananmu sehingga semangat membara dan kuat ketika menghadapi serangan lawan,

ubat kepala ketika kamu pening, suara yang merdu yang dapat mendodoikanmu agar matamu dapat terpejam ketika hendak tidur,

sapu tangan untuk mengusap air matamu dan mengeringkan keringatmu ketika kamu penat, pembalut yang dapat merawat lukamu,

penawar yang dapat menghalang hiruk-pikuk ke masalah yang kamu hadapi.

Jika kamu mencari orang yang bijak untuk menyelesaikan masalahmu,kamu dapati pada isterimu kasih sayang yang melimpah ruah seperti kasih sayang  ibumu. Serta, dia rela berkorban dan berjuang bersamamu.''

Lelaki biasa hanya memerlukan wanita yang biasa. Tetapi lelaki yang bertuah bermakna dia lelaki yang luar biasa sehingga memerlukan wanita yang luar biasa juga. Dia sanggup memikul beban melebihi beban wanita biasa, yang lebih sabar daripada Nabi Ayug a.s, yang tegar bak gunung, yang menjadi tiang penyokong lelaki fakir hati dan akalnya.

Dia dapat mengembalikan harapanmu ketika kamu sedang berputus asa. Dia yang dapat membangkitkan semangat dan kemantapan hatimu ketika kamu sedang bergolak.

Dia yang dapat membuatmu tersenyum ketika kamu tidak tersenyum. Dia yang penyantun ketika kamu sedang terhimpit.

Dia yang dapat bergaul sesama manusia dengan baik, sedangkan dia sedang berkuasa bagai ratu dan menahan diri dari membazir harta.

Sewaktu reputasinya tinggi, dia semakin tawaduk. Sewaktu kedudukannya meningkat, dihulurkan tangannya untuk mencapai orang yang jatuh di atas tanah.

Jika suaminya mempunyai kedudukan yang tinggi, ditariknya supaya bersikap merendahkan hati. Jika suaminya muflis, dia melayannya seperti orang yang paling kaya di muka bumi ini.''

Pemuda itu berkata, ''Mustahil aku mendapat isteri seperti itu!''

Saya menjawab, ''Setiap wanita yang benar-benar mencintaimu dapat bersikap seperti isteri ideal seperti apa yang kamu inginkan, jika dia benar-benar mencintaimu!''




Dipetik dari buku ''Ya Allah aku tidak layak untuk SYURGA-MU namun aku juga takut azab NERAKA-MU'' oleh Badiatul Roziqin.

P/S : Cerita yang sempat aku baca semalam.. ingin sekali aku kongsikan di sini kerna pengisiannya yang penuh makna. :)

Monday, February 6, 2012

Mungkin terakhir dari ku...

Ini adalah status saya di facebook sekadar saya copy paste kan disini dan terdapat sedikit penambahan.

Sesak nafas.mulut biru...tapi anggota lain masih berfungsi maka terus bergerak. Usah peduli sakit kerana sakit satu cara penghapus dosa. Saya harap anda juga terus bersemangat.

Pulang ke kolej dengan azam baru, semangat baru. Saya Adibah Ishak mungkin tidak akan muncul dalam facebook sehingga selesai final exam.

sebelum saya pergi...ingin berkongsi sesuatu kpd rakan facebook..kadang kala kita hebat share video agama, mendengar suara merdu maher zain di youtube..tapi biarlah apa yang dikongsi seiring dengan apa yang diamalkan. Ketika seronok online, berhentilah seketika jika azan berkumandang. Jangan sekadar menjadi yang hebat menge'share'. Nasihat ini buat diri saya juga.

ada juga katakan saya ustazah, budak sekolah agama bagi yang lama mengenali tahu bagaimana saya orang nya. Walau bagaimana saya berubah masih ada Adibah dalam diri saya, jenis yang gila2 jadi andai kata ada bahasa yang kadang2 terkasar maafkan saya..

Semoga saya dapat menjaga niat bersih dalam menulis blog. Semoga Allah mengampuni kesalahan dan kekhilafan saya. Buat pembaca, semoga kalian diberkati Allah.

Assalamualaikum.

P/S : rindu pada rumah tua <3



pemandangan kolej ku yang indah.. gambar diambil oleh, Encik Mohd Nasir pensyarah biologi :)

Saturday, January 21, 2012

Cerita cuti 1

20 Januari 2012.

Aku baru selesai kuliah..kereta dah bersusun-susun ramai parents yang nak ambil anak mereka.
Chill la dulu, aku rumah dekat.. gopeng ke ipoh tak sampai sejam pun..hehe

Aku pun nak ke kafe makan tgh hari bersama dengan sahabat aku. Tiba-tiba aku dapat satu panggilan dari sahabat lama juga merangkap sahabat karibku..Joey!!

Dia nak aku terus balik rumah dia, dari start cuti hari jumaat hingga Chinese New Year.. hajat di hati memang aku nak sangat tapi tak elok pula kalau pulang ke rumah dia terlebih dahulu. Apa kata mak ayah?
Aku tolak dengan cara baik perlawaan dia.. Inshaallah hari selasa baru ke rumah dia..

Maka aku timbulkan persoalan samak pada dia. Sama ada tanah yang dibawa mencukupi atau tidak untuk aku dan dia. Kepada siapa yg belum mengenali Joey..dia sahabat karibku yang berbangsa cina dan seorang mualaf..

lebih kurang mcm nie la salah satu anjing...Jesper namanya jenis husky .

Aku kerap ke rumahnya jadi jika dijilat anjing itu memang sudah menjadi perkara biasa aku ke rumah dia.. terkejut juga aku bila dia kata tak perlu samak kalau terkena anjing, katanya dia telah mengikuti mazhab lain yang tidak memerlukan dia untuk samak.

Tapi bila difikirkan betul juga, jika dia pulang ke rumah dia dikelilingi anjing.. berapa kali perlu samak dlm sehari?

Aku pelik. Pelbagai persoalan yang aku tanya, khuatir sama ada perkara menukar mazhab itu betul atau tidak? Kesian joey kerana kredit tak seberapa kena jawab segala pertanyaan aku. Dia baru belajar katanya. Perbualan kami hanya di situ.

Joey atau nama Islamnya Sophia Christina.

Jadi sebagai perkongsian buat Joey aku jumpa sesuatu dari sebuah buku bertajuk siri soal jawab Mutiara Akidah & Ibadah. Halaman 154-155 bagi mereka yang punya persoalan seperti aku eloklah rujuk buku ini..



MENCAMPURKAN IJTIHAD MAZHAB oleh : Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Perkara ini sering kali menjadi persoalan bagi segelintir individu yang tidak mempunyai ilmu memahami nas al-Quran dan hadis, juga  yang tiada pengetahuan tentang ilmu berkaitan seperti ilmu fiqh dan usul fiqh, tafsir dan bahasa Arab.

Oleh kerana kekurangan yang dihadapi, mereka dibenarkan untuk mengikut mana-mana ijtihad sesuatu hukum dari para ulama tempatan termasuk imam masjid tanpa meraguinya. Ini juga merupakan arahan daripada ALLAH S.W.T yang berbunyi, ''Tanyalah kamu kepada yang mengetahui apabila kamu tidak mengetahuinya.''

Tidak berdosa meninggalkan mazhab Syafie yang sememangnya menjadi pegangan dan jika ingin terus komited dengannya, itu juga digalak dan dibenarkan. Namun, jika seseorang itu berada di tempat lain, dia diharuskan untuk mengikuti mazhab bukan pegangannya disebabkan kesukaran dan keperluan.

Menurut majoriti ulama, percampuran mazhab yang tidak dibenarkan dan berdosa apabila ada segelintir individu yang menjadikannya sebagai jalan tengah untuk memudahkan segala perkara. Ini dinamakan sebagai Tatabbu' ar-Rukhas iaitu mencari yang mudah.

Bagi individu yang mencampur adukkan mazhab kerana ilmunya yang cetek, tidak dianggap berdosa dan tidak dikira sebagai pengikut mazhab Syafie yang mulzim (komit). Bagi orang awam yang 'berasa' atau 'menyangka' mereka pengikut mazhab Syafie, hakikatnya telah terkeluar daripada semua mazhab kerana ibadat dan muamalat seharian mereka yang bercampur antara mazhab-mazhab lain tanpa disedari. Di Malaysia, mazhab Syafie hanya dijadikan rujukan utama dan juga sebagai prioriti dalam memahami nas al-Quran dan hadis sahaja. Malah, banyak pendapat mazhab-mazhab lain telah diambil oleh fatwa Malaysia dan ini tiada sebarang kaitan dengan wahabi atau salafi.

Dr. M. Said Ramadhan al-Buthi berkata :
''Tidak menjadi satu kewajipan bagi seseorang muqallid untuk mengikut salah satu mazhab tertentu atau menjadi satu perkara haram baginya untuk berpindah-berpindah mazhab. Begitu pula, telah menjadi satu kesepakatan kaum muslimin, bahawa seorang muqallid boleh memilih atau mengikuti salah satu mujtahid jika diyakini kebenaran mazhab-mazhab dan pendapat-pendapatnya, seperti seseorang berpindah-pindah kepada salah satu daripada keempat imam mazhab.''

rasanya berbaloi kalau beli buku nie guna vaucer rm200 tu.

P/S : Aku tetap akan samak kerana situasi aku tidak seperti Joey, dia berhadapan dengan anjing setiap masa... Islam itu tidak membebankan, segalanya telah tersusun cantik :) nantikan cerita cuti 2 aku tengok ''something'' dengan Joey XD



Saturday, January 14, 2012

Perlu ada.


Aku berjalan menuju ke ATM dari jauh mata aku tertumpu pada barisan yang masih panjang.. dalam pada masa itu aku lihat rakan-rakan ketawa gembira bertepuk tampar dengan lelaki.. ''ohh perkara biasa..biasa??'' aku lihat mereka.. aku nampak aku suatu ketika dulu. Tunduk. Aku malu pada Dia.

Benar..kalian benar. Siapa aku untuk memberi nasihat? bukan ayah..mahupun mak.. tapi jujur aku sedih. ''Ahhh siapa peduli jika aku sedih?'' kerna itu bukan soalnya. Soalnya aku tak mahu kalian ulang sesuatu yang sama seperti aku.. mungkin bertepuk tampar kecil pada dasarnya, tapi..

tapi jika dari hari ke hari.. bulan ke bulan.. tahun ke tahun? mampukah kita sekadar bertepuk tampar.. tanpa tangan merayap ke bahagian lain? Bukan maksudku menuduh.. tapi memang hakikatnya iman kita umpama yoyo.. ada turun naiknya.. kuatkah kita mengawalnya? kuatkah aku mengawalnya?

Pernah aku ajukan soalan pada ustazah.. ''Bagaimana saya mahu tetapkan niat dalam setiap apa yang saya lakukan adalah kerana Allah?''

kerna manusia seperti aku entah bila boleh jatuh pada bisikan, benteng yang merapuh.. aku takut.. setiap masa, aku tak mahu kembali kehidupan yang dulu..

''kamu perlu dekat sentiasa dengan Allah.. jadikan Al-Quran pegangan kamu.. tafsir.. baca tafsir.. dan juga sekeliling kamu, tinggalkan apa yang tak perlu''

Ustazah tinggalkan aku dengan jawapan yang cukup ringkas.. katanya aku perlu berfikir dan lebih mencari dengan usaha sendiri. Akhirnya, aku dapat simpulkan sesuatu ''kalau tahu akhirnya cuma ada mudarat, jangan libatkan diri dari awal..'' atau dalam bahasa rempitnya ''pandai cari penyakit kan? lu tanggung lah derr..'' ditujukan khusus buat diri.. moga juga yang lain.

Paling penting, semua itu boleh dielakkan hanya perlu ada MALU. Ya, malu. Malu seorang wanita.

Aku pernah berada di posisi kalian..kata-kata seperti

''aku tak nak jadi hipokrit.. pakai tudung tapi lepak dengan laki, ini diri aku its my life!!!..''

''sorry lah..muka aku tak berapa nak cun kalau pakai tudung''

macam-macam lagi..tapi kesiannya kita sebagai wanita.. cuba fikir lelaki yang hampir dengan kita adalah lelaki yang suka pada aurat kita.. suka menikmati luaran kita saja.. 

bagaimana dengan hati? Pernah lelaki menilai kita dari dalam.. ? Tak dinafikan fitrah manusia sukakan keindahan tapi andai kata keindahan itu cuma sementara sudah pasti tidak dapat kita bawa sampai ke sana.. sana yang kekal abadi.. 

Malu bagi aku bukan menunjukkan wanita itu lemah. Tidak sama sekali, bahkan menunjukkan wanita itu kuat. Kuat dari segi tahan kepada godaan.. kerana malu itu perisai bagi kita.

''Kebanyakkan lelaki nak jee.. kalau kasi, ambik.. perempuan la bodoh. Lelaki takkan jadi apa-apa. Sebab mengandung or nak tanggung apa2 korang !''

Pendapat jujur dari kawan lelaki aku. Masa dia cakap aku tak tahu apa reaksi patut aku bagi..tak sangka pulak dia akan jawab sejujur-jujurnya.

Tak cukup lagi ke? Malu juga kerana kita mahu melindungi. Melindungi orang yang kita sayangi.. Andai kita sayang sudah pasti kita tidak mahu menambah dosa si dia.. kalau kita berpakaian dengan cara menggodakan, suara yang manja, cubitan selembut belaian.. 

Siapa yang tak cair? Tanpa sedar kita telah rosakkan dia, menambah lagi dosa si dia.. adakah itu di panggil sayang. Jangan lupa kita juga dah menambah dosa sendiri padahal bekal yang tak seberapa. 

Malu itu juga buat kita sedar akan diri. Di mana kita patut berhenti andai di hadapan duri yang menanti. Malu pada Pencipta membuatkan kita takkan berani untuk melakukan perkara yang mungkar.. kerana sesungguhnya Dia Maha Melihat lagi Maha Mengetahui..

Tapi sayang manusia selalu malu pada manusia.. takut ramai yang tahu.. mana muka patut diletakkan ? 

Malu sebenarnya menunjukkan kita hormat.. hormat pada yang lain. Kalau ada malu sudah tentu kita tidak akan sewenang-wenang menggunakkan F*** sesuka hati pada insan lain..

Bagi aku jika sekadar F*** yang kamu kerap guna sedangkan penguasaan bahasa Inggeris yang tak seberapa, kamu itu aku panggil Pathetic..

''I can say whatever I want to say.'' Yes you can but that doesn't mean you should. -Aiman Azlan-

MALU ITU...
KUAT !
MELINDUNGI !
SEDAR DIRI !
MENGHINDAR DOSA!
HORMAT ! :)

Tika kecilnya, dia selalu malu jika datang ke rumah saudara-maranya.







P/S : ada yang minta aku taip entri guna bahasa rempit..katanya bahasa aku kadang-kadang terlalu berkias sukar di fahami..bukan tak mahu, aku takut yang cuma ada nanti hampas kelapa!  :D atau barangkali malu nak guna bahasa rempit.. ? Mungkin..haha..










Saturday, January 7, 2012

tit tit... 1 message received.


Semua rasa serba tak kena.. pandang dinding salah, tengok luar tingkap salah.. rasa tak lengkap..menanti sesuatu..Apa jua ragam rakan-rakan seolah-olah tak boleh ‘ngam’ dalam masa sehari tu..nak ketawa sudah pasti tak, senyum jauh sekali.

Pandang berkali-kali pada tempat yang sama, mengharap sesuatu, menanti sesuatu.. itu lah penangan bila mesej tak berbalas..dasyat kan? Aku ke? Pernah la jugak zaman hingusan dulu2. Tapi entri kali nie bukan berkisah tentang aku yang muram akibat mesej tidak berbalas..

Aku tak terlintas pun nak taip entri tentang bermesej-mesej nie.. tapi dua, tiga menjak nie aku asyik nampak orang sekeliling aku muram akibat ‘mesej’.

‘’Agak bengang lah.. sebab contoh, ko harap dia balas, tapi tak balas pun! tapi aku ok je kot…’’

‘’Aku ok je.. kadang- kadang je sakit hati, ikut mood lah..’’

Ini pandangan rakan-rakan aku.. kedua-dua pandangan tu sebut perkataan OK.. tapi mereka OK ke?

Kenapa muram?

Barangkali.. orang yang dimesej, balak/awek..

Barangkali..dah excited dari awal nak mesej..

Barangkali..rindu tahap gaban..

Sebenarnya apa pun terpulang kepada kita.. sama ada biarkan rasa itu menguasai diri atau kita menguasai rasa itu.. kalau kita dari awal dah tetapkan mind set, ‘’I’m not okay’’  then you’re not okay..
Kalau tak okay sekali pun tapi percaya pada diri ‘’ I’m not okay, I don’t want to be okay .. I don’t want things back to normal.. I just want things to get BETTER’’

Mana satu kita akan sebut pada diri? Terpulang..
Tapi biar kita jadi yang pertama. Kalau kita semua jadi pertama, siapa yang kedua? Ketiga? Apa pula yang pertama ?

Siapa pertama kali berjaya naik ke bulan? Siapa angkasawan pertama Malaysia? Siapa yang berjaya mencipta telefon?

Neil Armstrong, Dato Dr Sheik Muszaphar Shukor, Alexander Graham Bell..

Pandai.. semua boleh jawabkan.. tapi kalau aku tanya lagi siapa orang kedua yang naik ke bulan? Bakal angkawan Malaysia yg kedua? Orang kedua yg mencipta telefon? Sila jawab tanpa menggunakan google. Semua ngeeee~~~ tak tahu.

Apa yang aku cuba sampaikan jadilah yang pertama menyampaikan.. menyampaikan kepada diri.. Siapa lagi nak bimbing diri, kalau tak bermula pada diri sendiri. Ajak diri untuk terus kuat..kalau berkemampuan ajak juga yang lain.

‘’sampaikanlah dari ku walau hanya satu ayat’’ sumber SINI

Biar aku kongsi kisah kedua tentang mesej.. lebih luas skopnya, inshallah..
Kisah nie bermula di kolej aku sendiri. Pada masa tu kita semua sambut bulan Ramadhan..seperti biasa students dan lecturers akan penuh dalam masjid setiap kali terawih.. Alhamdulilah..

Tapi.. ada sesuatu yang kurang menyenangkan.. bila salah seorang lecturer aku terpandang seorang pelajar perempuan.

Dia lengkap bertelekung cuma..

SETIAP KALI selesai 2 rakaat dia,dia akan reply mesej.. dan phone diletakkan betul dihadapan tempat sujud..

‘’Tengok betapa awak semua berkompromi dengan Allah.. tengah terawih pun mesej..dah la tu pulak phone letak depan tempat kepala sujud.. pada siapa awak sujud?’’

‘’Saya tak rasa dia mesej mak bapak dia.. amboiiii..sayang betul, sampai nak solat terawih tak sempat-sempat mesej mak! Yang awak si perempuan dok tonggang tonggek terawih, yang balak dekat rumah rasanya tengok tv sambil makan keropok kot..macam tu awak nak buat suami??’’

‘’Pandai… berani doa.. Ya Allah kurniakan lah aku 4 flat.. 4 flat’’
Memang masa tu, 1 kuliah sentap.. nada marah lecturer benar-benar berbekas..

Jadi mari tanya diri.. berapa banyak kita dah berkompromi dengan Allah? Tak terkira rasanya selama nie aku dah berkompromi.. 

Kehidupan di kolej lebih banyak mengajar aku.. hurmm..hampir sebulan tak balik rumah rasanya.. 

Mak...cuti sem nanti saya balik yer ! 

P/S : cemas topup habis or cemas tak dapat reply msg ?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...