Pada suatu hari pergilah seorang petani dengan anaknya ke kebunnya untuk mengambil hasil. Lalu berkata si ayah kepada si anak. Esok pagi akan kita panggil jiran tetangga kita si anu, untuk menolong kita memetik hasil ini. Perkataan si ayah itu didengar oleh dua ekor anak yang bersarang di atas sebatang pohon yang akan diambil buahnya didalam kebun itu. Maka gementarlah keduanya ketakutan, insaflah keduanya bagaimana besar bahaya yang akan menimpa mereka kalau jadi orang itu memetik hasil kebunnya esok, tentulah akan terganggu keduanya bersarang di sana, padahal kedua anak burung belum ada yang pandai terbang dan ibunya tengah pergi mencari makanan. Barulah besar hati kedua anak burung itu setelah ibunya pulang. Segala yang didengar dikhabarkan kepada ibunya. Dengan senyum si ibu berkata, ''tak usah cemas, tidurlah dengan senang! Kebun ini belum akan dipetiknya esok''
Apa yang dikatakan burung itu kepada anaknya, memanglah kejadian. Esoknya tidak ada orang yang datang pergi menebus kebun itu. Burung-burung itu sudah mulai kuat sedikit- sedikit.
Beberapa hari kemudian, datang pula petani dengan anaknya itu ke sana. Si ayah berkata ''Ah, tidak jadi tetangga kita datang menolong tempoh hari. Esok biarlah kita jemput dia ke rumahnya''
Perkataan ini telah mencemaskan hati kedua anak burung itu. Kecemasan itu disampaikannya kepada induknya setelah dia datang. Tetapi si induk berkata pula, ''Jangan cemas, kebun ini tidak akan dikerjakan esok''. Dan betullah kebun itu tidak didatangi manusia esoknya.
Beberapa hari kemudian datang pula kedua beranak itu sekali lagi. Ketika itu sayap kedua anak burung itu telah bertambah tumbuh juga, sehingga sudah agak pandai terbang jauh. Maka terdengar pulalah oleh kedua anak burung itu si ayah berkata kepada anaknya,''tempoh hari tak jadi kita ditolongnya, jangan kita harapkan juga lagi pertolongan tetangga itu. Esok pagi kita kerjakan kebun kita ini''.
Perkataan itu disampaikan pula oleh kedua burung ini kepada induknya setelah dia kembali. Mendengar itu barulah kelihatan si induk menatap mata anak-anaknya, menanyakan benarkah dia berkata begitu, benar begitu katanya, jawab si anak.
''Kalau begitu,marilah kita pindah. Tentu engkau keduanya sudah kuat terbang. Jangan kita tunggu sampai esok. Kerana petani itu sekarang tidak lagi mengharapkan bantuan orang lain, tetapi sudah percaya kepada kekuatan dirinya sendiri''
Orang yang percaya kepada kemampuan dirinya sendiri itulah tercapai apa yang dimaksudkannya.
P/S: cerita ni aku ambil dari salah sebuah buku yang pernah aku baca, cerita ni betul2 meninggalkan buat diri. Moga dengan perkongsian ini dapat kita manfaatkan bersama :) dan ketika aku menaip entri ini aku rasa tak ramai yang akan baca, kalau ada mungkin baca separuh. Tapi, bagi sesiapa yang membaca tahu pengajaran penting cuba disampaikan pengarang, kuantiti yg baca sampai habis rasanya boleh dibilang dengan jari.. untuk itu, kepada pembaca yg membaca berbahagialah sesungguhnya kuantiti takkan pernah berjaya mengalahkan kualiti. As Salam..
nice one..
ReplyDeletesiapa pengarang bukunya?
ReplyDelete