Kata pepatah:
Melentur aur biar dari rebungnya
kerana bila sudah menjadi buluh...
diurut payah dilurut patah
mendidik biar sewaktu kecil
..bagai mengukir di atas batu
mendidik ketika dewasa
..bagai melukis di atas pasir
Tapi bagaimana kiranya
jika di peringkat rebung lagi
aur sudah sekah
sudah reput dan sudah rekah
rosak sudah di pangkal
punah sampai ke hujung
keruh sudah di hulu
kelodak sampai ke hilir
di awal alpa bismillah
di akhir tanpa alhamdulilah
Jenayah di peringkat sekolah
masalah lama terus terserlah
barah yang sudah lama membengkak
kini meletus mengeluarkan nanah
kata sesetengah pihak- ini masalah 'kecik'
tak sampai ke tahap kronik
peratusnya tak sampai satu
tak perlu dihebohkan-hebohkan dulu
kata sesetengah pula- ini masalah negara
tunas generasi sudah tercalar
kanak-kanak lagi sudah tercemar
apakah jadi bila remaja?
apatah lagi nanti dewasa?
Mari kita tafakur sebentar
menganalisis produk dari kilangnya
melihat kuih dari acuannya
menghitung nasi berserta kuahnya
menilai rintik si anak dari borek bapanya
Mari kita susur ke akar
mencari jati diri pada hakikat
mentafsir asal mula pada yang tersirat
justeru jenayah atau apa sahaja
ialah buah, ialah natijah,
asal-muasal daripada
mukadimah yang salah!
Awal bermula di pertemuan ibu bapa
perkenalan dan cinta jangan dicemari dosa
pertunangan dan pernikahan
disusun penuh syariat
nikah yang berkat bersendikan hukum Allah
ketika hendak 'bersama'
dimulakan dengan doa..
agar anak yang bakal dikurniakan
selamat daripada gangguan syaitan.
Di rahim ibu benih anak disimpan
dibajai dan disuburkan dalam belaian Al-Quran
surah Luqman, Yusuf dan Maryam
...agar degup jantung, aliran darah
dan denyut pernafasan
dalam selubung kebaikan,
dalam lindung keredhaan
Lahirnya dilaungkan seruan azan
iqamat, tahnik, akikah lalu dinamakan
Muhammad...sempena insan teladan
Adam, Isa, Ilyas, Yusuf...
berkat nabi dan rasul pilihan
di kalangan para sahabat dan siddiqin
para syuhada dan solehin..
Dididik putera puteri mengenal Allah
diteraskan al-Quran, berasaskan al-Sunah
diajar beradab dan beribadah
menerusi sejarah hidup Rasulullah
biar program awalnya bersih putih
akar tunjangnya teguh kukuh
jiwa, akal, emosinya gagah
bersendikan- Awwaluddin Makrifatullah
(Awal agama mengenal Allah)
Ajarkan dia mengenal dosa
di samping belajar menghitung angka
Asuhlah dia membaca
dengan roh 'Iqra' daripada Yang Esa
Ketika sudah pandai menulis
dia seharusnya telah sedar
akan tipuan iblis!
Ajar dia mengenal yang dicipta
berasaskan iman kepada Pencipta
ketika berinteraksi sesama insan
jangan lupa komunikasi kepada Tuhan
ketika meneguk nikmat
ingat Pemberi Nikmat
jangan asyik mengkaji tumbuhan dan haiwan
hingga lupa mengenal Tuhan...
kenalkan Allah kepada hatinya,
nescaya kenallah dia kepada ibu bapa,
masyarakat dan negara
tetapi kalau lupa
pada DIA..
dia akan lupa segala
juga pada dirinya!
Berhenti sejenak di satu destinasi
istirahat sejenak mengatur koreksi
kita tidak boleh lagi terus-terusan begini
menghasilkan penghuni Pusat Serenti
menghasilkan manusia bohjan bohsia
masalah dadah dan juvana
Ini bukan lagi soal pendekatan
tapi soal prinsip dan keyakinan
jangan persoalkan kecil besar,
banyak atau sedikit
ini bukan soal statistik atau data
bukan soal diskusi, forum dan seminar
tetapi soal manusia
ya, siapa menyemai gelombang
dia akan menuai badai
bila rebung-rebung menjadi rentung
kita perlu kembali ke benih
Betulkan mukadimah...
indahkan natijah.